2 Agustus 2012/ 13 Ramadhan 1433H. Seorang rakan seusaha dari Semporna, 
saudara Isnani syahid di jalan Allah sewaktu sedang khuruj 40 hari fi 
Sabilillah menjalankan usaha dakwah dan tabligh. Wajah tenang ini tidak 
ramai yang mengenalinya. Seorang yang zuhud dari segi dunianya, saya 
yakin melihat kepada keadaan dirinya, komputer dan internet pun beliau 
tidak pandai apalagi Facebook dan Blog. Bukan juga beliau ini seorang 
yang ternama bahkan adalah beliau adalah di kalangan orang kebanyakan 
yang biasa. Namun akhir kehidupannya membuatkan beliau seorang yang luar
 biasa. Semalam saya bersama rakan-rakan seusaha dari Semporna turut 
membantu menguruskan jenazahnya. Sangat tenang wajahnya. Saya abadikan 
gambar dan kisahnya di sini, sebagai pengajaran dan pembakar semangat 
buat para da’ei yang merindui syahid di jalan Allah.
Namanya yang biasa kami panggil ialah Isnani, seorang pemuda yang 
periang dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Beliau menetap di sebuah 
penempatan ladang kelapa sawit yang jauhnya kira-kira 40km dari pekan 
Semporna. Sewaktu hayatnya beliau sering beriktikaf di surau Kg Perigi 
Semporna. Surau yang biasa menjadi transit mana-mana jemaah yang 
dihantar ke Semporna. Salah satu surau yang hidup amal jemaah masjid di 
Semporna.
Sewaktu takaza persiapan Ijtimak Lahad Datu dibentangkan, beliau 
antara yang banyak menginfakkan masa dan tenaganya di medan ijtimak 
beberapa minggu sebelum menjelangnya ijtimak. Sikapnya yang mesra dengan
 sesiapa sahaja membuatkan beliau sangat disenangi. Saya juga senang 
dengan gurauannya yang banyak mengingatkan saya kepada kehidupan 
akhirat.
Bagi yang memberi masa untuk khidmat di ijtimak Lahad Datu tempoh 
hari mungkin sangat biasa dengan seraut wajah ini. Beliau memberi masa 
berminggu-minggu di medan ijtimak membantu kerja-kerja yang patut. Saya 
dan rakan-rakan seusaha dari Semporna waktu itu hanya mampu memberi masa
 hujung-hujung minggu sahaja untuk khidmat. Lazimnya kami datang Jumaat 
malam dan pulang pada Ahad malam. Pernah suatu malam hari Ahad sewaktu 
saya mahu balik ke Semporna dari khidmat di Lahad Datu itu, arwah 
mengiringi kami sampai ke kereta dan mengajak kami tambah masa untuk 
khidmat, tapi kami tak dapat nak tambah masa disebabkan banyak kekangan,
 semoga Allah ampunkan kami yang hanya mampu korbankan masa tersisa 
hujung minggu itu sahaja.
Masih terngiang-ngiang di telinga saya, sewaktu kami semua telah 
masuk ke dalam kereta dan bersiap hendak pulang ke Semporna, selepas 
injin dihidupkan, arwah yang berdiri di luar kereta telah bercakap 
sesuatu dalam bahasa Tausug/Suluk yang saya tidak fahami, tetapi saya 
mendengar satu Avanza rakan-rakan seusaha bertakbir “Allahu Akbar”. Saya
 tanya salah seorang dari jemaah Semporna yang di dalam kereta itu, “Apa
 yang dia cakap, saya tak berapa paham, apa maksudnya” Kawan saya pun 
menterjemahkan apa yang beliau cakapkan itu iaitu katanya: “Janganlah 
balik rumah tuan, rumah sebenar kita bukan di dunia, tapi rumah sebenar 
kita adalah adalah di syurga.” Allahu… Saya turut terkedu. Waktu tu kami
 hanya mampu tertunduk malu dan meneruskan perjalanan balik ke Semporna 
meninggalkan beliau yang menyambung khidmat di tapak ijtimak.
Selepas ijtimak beliau bersungguh-sungguh untuk keluar 40 hari pula. 
Dan jemaah beliau dihantar untuk jalankan usaha dakwah dan tabligh di 
kawasan penempatan-penempatan ladang kelapa sawit di Semporna yang jauh 
dari pekan, kawasan yang agak muhajadah dan bukan calang-calang jemaah 
sanggup jalankan usaha di kawasan ladang. Pernah di sebuah ladang, 
jemaah ini diusir oleh pengurusnya. Hendak dijadikan sebab, sewaktu 
awal-awal khuruj beliau masih sihat. Masa terus berjalan sehinggalah 
beberapa masjid dan surau yang terakhir ini, beliau sering sesak nafas. 
Orang Sabah bilang ‘ampus’. Pernah dikejarkan ke hospital kerana sesak 
nafas seminggu yang lalu sewaktu masih di Tagasan.
Route terakhir 40 hari, Surau Indani, Bugaya, pagi semalam (12 
Ramadhan) lepas bayan subuh arwah duduk berselimut sambil berzikir 
seorang diri tatkala jemaah yang lain menyambung rehat mereka. Amir 
jemaah Hj Anwar menceritakan kepada kami beliau mendengar arwah berzikir
 dengan suara yang lemah dan sayu. Tidak beberapa lama kemudian 
tiba-tiba jemaah terjaga mendengar arwah menjerit menahan sakit di dada 
‘Allahu Akbar!’ dalam keadaan sesak nafas.
Tanpa membuang masa arwah segera dikejarkan ke hospital Semporna akan
 tetapi sudah takdir Allah ingin memuliakannya di bulan yang penuh 
keberkatan ini. Lidah arwah sibuk dengan zikir sebelum menghembus 
nafasnya yang terakhir di pangkuan rakan jemaahnya Wafi dan Muhammad di 
dalam Van Hj Anwar sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Mengenangkan 
arwah membuatkn saya menangis, inilah kematian yang amat dicemburui.
Dan hari ini, di bulan yang berkat ini, Allah telah menghantar Isnani
 untuk melawat rumahnya yang sebenar iaitu di syurga. Meninggalkan para 
da’ei dengan perasaan cemburu yang amat sangat. Ya Allah bagaimanakah 
pula pengakhiran kami nanti. Sama-sama kita tanamkan azam dan niat untuk
 keluar di jalan Allah 40 hari dan 4 bulan secepat mungkin insyaAllah.
Maksud firman Allah s.w.t:
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati 
Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira 
dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang
 sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan 
belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari 
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula 
tidak akan berdukacita.
Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah 
kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala 
orang-orang yang beriman. (Surah Ali ?Imran:169-171)
Muhammad Ishak Zaini
2 Ogos 2012
13 Ramadhan 1433H
2 Ogos 2012
13 Ramadhan 1433H
 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar