MASIH di Poi Pet City.. di kedai makan Islam pagi itu, kira-kira 20 
orang kumpulan dari Jamaah Tablig dari Kampong Cham singgah makan. 
Mereka mengajak saya ziarah atau tidur di masjid di situ. Saya 
menziarahi mereka lepas sholat isyak. Akhirnya mereka ajak saya makan 
bersama-sama sambil berbual-bual kongsi pengalaman.
Makan dengan tangan beberapa orang dalam satu dulang itu adalah 
biasa. Ada anak-anak muda yang hendak tidur mulai memasang kelambu dalam
 masjid, mungkin kerana banyak nyamuk. Walaupun begitu masih ada yang 
berzikir dan wirid. Namun di luar, hujan masih turun renyai-renyai dan 
mulai membanjiri halaman masjid. Begitu, suatu tarbiah dan latihan 
pengorbanan dalam menyebarkan Islam, terutama di kawasan kampung-kampung
 yang dilanda kemiskinan.
Teringat cerita kawan saya semasa beliau belajar di Amerika Syarikat 
(AS) dan mengikuti gerakan Jamaah Tabligh di sana selepas berlaku 
peristiwa serangan September 11, 2001, yang di tuduh oleh Presiden Bush 
waktu itu adalah dari kumpulan Islam. Dalam suasana pengapian dan 
kepanasan balas dendam itu, gerakan Jamaah Tabligh terus digerakkan 
menggempur penerangannya di kalangan masyarakat Amerika. Katanya…
“Suatu hari saya membawa tiga orang pemimpin Jamaah Tabligh menemui 
seorang lelaki Negro gangster yang memeluk Islam. Lelaki itu berada di 
tengah-tengah kumpulannya yang duduk di suatu meja. Dengan wajah bengis,
 ganas dan badan yang dipenuhi tato, apabila si tabligh ini menerangkan 
tujuannya, tiba-tiba seorang dari mereka bukan lelaki Islam itu 
mengeluarkan pistol membenamkan ke perut si tabligh itu, sambil berkata,
 “Kamu kata, God bless America!”
“Kamu yang kata Allahu Akbar!” Jawab spontan si tabligh itu dengan tegas dan keras. Tiada takut langsung.
Si Negro itu mengulangi lagi, tetapi dijawab oleh si tabligh itu 
dengan kata yang sama tetapi lebih tegas dan keras lagi, sehingga 
beberapa kali. Tetapi rupanya kata-kata Negro itu makin perlahan dan 
terasa tangannya yang memegang pistol itu mula geletar. Makin longgar 
dan akhirnya pistol itu terlepas dari tangan lalu jatuh.
Kata si tabligh, “Sebenarnya kami ke sini untuk membawa perdamaian. 
Menerangkan ke Esaan Allah. Yang disampaikan melalui penyampainya 
Muhammad, membawa risalah melalui bukunya Al-Quran supaya percaya kepada
 ketentuan dan hidup sesudah hidup!”
Cetusan kata-kata yang membangkitkan semangat berfikir kepada 
kumpulan gangster di meja itu, akhirnya menyebabkan mereka memilih 
Islam.”
Jelas kawan saya pelajar di AS itu lagi yang kini sudah berada di 
Malaysia dan sekali sekala berceramah di tv Malaysia. Katanya lagi…
“Rupanya baru saya tahu si tabligh itu adalah seorang yang 
berpengalaman tinggi. Beliau adalah rakyat Amerika yang memeluk Islam, 
berpengalaman bertabligh kepada 3 kelompok rakyat Amerika…
i.Kepada ‘golongan hippies’ remaja terlanjur suatu ketika dulu,
ii..Kepada golongan kulit hitan yang tersasar sesat, mereka menganggap kaum kulit hitam lebih mulia dari manusia lain di dunia,
iii..Dan kepada sasaran biasa, mendampingi orang-orang seperti Malcom X, Muhammad Ali bekas juara tinju dunia dan lain-lain.
Si tabligh itu juga turut pergi bertabligh hingga ke Pakistan dan 
pernah turut berperang bersama mujahaidin di Afghanistan. Kini menetap 
dan berdakwah di AS. Saya pernah bertanya beliau, berapa ramai yang 
berjaya diIslamkan melalui beliau sepanjang lebih 30 tahun beliau 
bertabligh? Katanya, “…Yang saya rekod hingga ke angka 2,000 orang, 
lepas itu dah tak ingat lagi!” Jelas kawan saya itu lagi.
Kawan saya itu ada menyebut nama beliau, tetapi saya masih belum 
meminta izin dari pimpinan Jamaah Tabligh itu, untuk paparkan di sini. 
Tetapi yang penting ialah usaha dakwah dari sebuah pertubuhan Islam yang
 bergerak di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam negara bukan 
Islam. Tarbiah, didikan dan pengalaman adalah seperti yang dijalani di 
depan mata saya ini.
 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar